Rabu, 11 Ogos 2010

KENALPASTI PENYAKIT ANDA SEBELUM BERPUASA




Orang yang mengalami sakit gastrik sebenarnya mampu berpuasa penuh. Cuma, mereka perlu makan sahur lewat dan tidak mengambil sebarang minuman bersusu.

"Kebanyakan pesakit boleh berpuasa penuh melainkan penyakit-penyakit kronik yang sukar untuk dirawat. Misalnya, pesakit kanser terminal yang memerlukan mereka mengambil ubat yang kerap, pesakit diabetes yang memerlukan suntikan dari semasa ke semasa, serangan jantung dan strok.

"Tidak ketinggalan mereka yang mempunyai penyakit akut yang serius seperti infeksi (septisemia), lelah dan dehidrasi yang memerlukan rawatan segera," kata Pakar Perunding dan Gastroenterologi Hospital Pakar Al-Islam, Kuala Lumpur, Dr. Ishak Mas'ud.

"Istilah gastrik sebenarnya terlalu umum. Sakit perut boleh berpunca disebabkan ulser peptik, batu karang di dalam hempedu (gallstone) dan pankreatitis yang biasanya disebabkan sindrom usus rengsa (IBS).

"Walaubagaimanapun, ada beberapa gejala lain yang memberi indikasi memungkinkan pesakit gastrik memerlukan rawatan segera.

"Antaranya sakit perut yang berpanjangan, muntah berterusan atau berdarah, najis berwarna hitam yang berkemungkinan najis berdarah, selera makan dan berat badan yang semakin berkurang serta sakit perut yang semakin teruk selepas makan," katanya mengenai rawatan yang memungkinkan pesakit tersebut menjalani beberapa ujian seperti endoskopi atau ujian ultrasound pada bahagian perut.

Sementara itu, menurut Pegawai Hal Ehwal Khas Agama sebuah pusat perubatan, Ismat Nazirin Mat Isa, mengikut surah al-Baqarah ayat 183 sehingga 188, terdapat tiga golongan individu yang tidak dibenarkan berpuasa iaitu orang yang sakit, musafir dan wanita yang kedatangan haid.

"Walaupun tiga golongan ini tidak diwajibkan berpuasa tetapi mereka wajib untuk menggantikan puasa. Jika mereka masih tidak mampu untuk menggantikan puasa terutama bagi individu yang menghidap penyakit yang sukar sembuh seperti kanser, mereka perlu menggantikan puasa dengan cara yang lain.

"Mereka perlu menggantikan puasa yang tertinggal dengan membayar fidyah kepada fakir miskin. Sehari puasa yang ditinggalkan bersamaan dengan 700 gram beras yang perlu diberikan.

"Malah, mereka perlu membayar fidyah mengikut jenis beras yang dimakan," katanya mengenai amalan berpuasa yang diperintah Allah sebagai ujian untuk menguji ketakwaan umatnya.

Jelas Ismat, terdapat dua kategori orang berpenyakit iaitu pesakit yang yakin dia boleh berpuasa dan tidak memudaratkan diri, wajib untuk berpuasa.

Golongan kedua pula, pesakit yang tidak dapat menentukan tahap kemudaratan kesihatannya. Jika doktor kata tidak boleh berpuasa, pesakit itu wajib untuk berbuka.


DAPATKAN pandangan pakar perubatan mengenai penyakit anda kerana ia boleh membantu anda menunaikan ibadah puasa dengan lebih baik.

Prosedur perubatan

Dalam pada itu, banyak persoalan timbul dalam kalangan orang ramai mengenai prosedur-prosedur perubatan sama ada mereka boleh berpuasa atau tidak.

"Banyak perkara yang telah diputuskan oleh Majlis Perhimpunan Fiqh Islam Antarabangsa dalam persidangan ke-10 di Jeddah Arab Saudi baru-baru ini.

"Ada enam prosedur perubatan yang tidak membatalkan puasa. Pertama, menitiskan ubat ke dalam mata, hidung dan telinga. Dengan syarat ubat tersebut tidak sampai ke tekak.

"Kedua, menderma atau menerima pemindahan darah. Ketiga, mengambil ujian darah. Keempat, menjalani rawatan pergigian seperti mencabut, menampal dan mencuci gigi. Kelima, menjalani rawatan hemodialisis atau dialisis peritoneal (PD) dan terakhir menjalani ujian endoskopi bagi tujuan diagnosis - ruj;Kosmo

petikan tulisan Dr Asri Zainul Abidin...
Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal puasa saya. Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya: Dalam hadis disebutkan: Rasulullah s.a.w. bercelak sedangkan baginda berpuasa (riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda tidak lakukan. Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: “Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

MAKA PERTIMBANGKANLAH BAHAWA PENYAKIT ANDA DITAHAP MANA......JANGAN JADIKANNYA ALASAN UNTUK TIDAK BERPUASA...!

2 ulasan:

  1. salam udang galah
    alhamdullilah... aku tahun ni sgt bagus kesihatan kerana mengurangkan makanan pd sahur dan tidak minum susu..

    jika tidak pg2 dah rasa senak perut.

    BalasPadam