Isnin, 2 Disember 2013

TRAFORMASI UMNO MENURUT PM..

KUALA LUMPUR, 2 Dis  - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata proses transformasi dalam UMNO perlu berlangsung dengan mengambil kira keperluan bagi parti itu bergerak selaras dengan realiti politik baharu yang kini mewarnai landskap politik negara.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata kejayaan yang dikecapi UMNO selama ini bukan jaminan bagi kejayaan akan datang, lebih-lebih lagi susulan perubahan yang berlaku dalam landskap politik tanah air, disulami perubahan demografik dan teknologi selain peningkatan tahap pendidikan rakyat Malaysia.
“Untuk kekal relevan, UMNO mesti sanggup lakukan transformasi yang mencerminkan ia merupakan parti yang mampu menjamin masa depan orang Melayu dan negara secara keseluruhannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan parti yang ditubuhkan pada 1946 itu perlu meningkatkan usaha melatih pemimpin di semua peringkat yang faham dengan apa yang perlu dilakukan demi survival parti dan perjuangannya.
Najib berkata demikian dalam wawancara khas dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013, di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini.
“Kita tak boleh lagi terima anggota UMNO tanpa kita tarbiah atau didik mereka melalui kursus tertentu, bentuk minda mereka untuk berfikir…dalam konteks persekitaran baharu, politik baharu, bukan lagi politik lama,” kata Najib.
Beliau memberi peringatan bahawa anggota UMNO yang tidak faham politik baharu bakal ditolak rakyat.
“Sebab itu UMNO kena sesuaikan diri, (termasuk) sediakan pemimpin-pemimpin yang menghayati politik baharu,” jelasnya dalam wawancara khas 40 minit yang antara lain mengupas soal cabaran, harapan dan hala tuju UMNO selepas pilihan raya umum ke-13 pada Mei dan pemilihan parti pada Oktober lepas.
Menurut Najib, sebahagian daripada proses transformasi dalam parti sudah berjaya manakala sebahagian lagi belum tiba ke penghujungnya.
Dalam pada itu, perdana menteri berkata ada keperluan untuk UMNO membuka pintu lebih luas kepada golongan profesional kerana ia difikirkan mampu member kekuatan kepada kepimpinan di peringkat bahagian dan cawangan.
Mengulas pandangannya itu, Najib berkata ketua cawangan yang terdiri daripada golongan profesional biasanya mempunyai pengaruh lebih besar terutama di kawasan bandar.
Menurutnya, penyertaan golongan profesional di semua peringkat dilihat mampu mempengaruhi masyarakat setempat dalam usaha menarik sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional, termasuk di kawasan bandar.
“Untuk itu, kita mesti ada program untuk memperbanyak kemasukan golongan profesional dan Generasi Y terutama di kawasan bandar.
“Kekuatan kita masih di luar bandar, namun kekuatan (UMNO) di bandar perlu ditambah lagi,” jelas Najib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan