Khamis, 5 September 2013

PETRONAS PERJELAS ISU HARGA MINYAK                           

KUALA LUMPUR: PETRONAS tampil menjelaskan tanggapan salah sebilangan rakyat, bahawa Malaysia dapat mengeluarkan produk petroleum lebih murah seperti gasoline dan diesel, jika ia mengeluar dan menggunakan sendiri minyak mentahnya.

Perbadanan minyak negara itu berkata, minyak mentah Tapis blend yang ditemui di perairan Malaysia, adalah bahan yang sangat mahal.
Oleh itu, dengan mengeksport Tapis blend dan mengimport minyak kurang berkualiti untuk penggunaan domestik, Malaysia meraih manfaat lebih besar daripada sumber minyak mentah semula jadinya dan pada masa sama memastikan jaminan tenaga untuk penggunaan domestik.
PETRONAS dalam satu kenyataan malam tadi, mengulas mengenai rasionalisasi subsidi kerajaan baru-baru ini yang menimbulkan kebimbangan dan tanggapan salah sebilangan rakyat.

Mereka berpendapat rakyat sepatutnya menikmati produk petroleum, terutama gasoline dan diesel, pada harga minimum selari dengan status negara sebagai negara pengeluar minyak, katanya.

Ini bertentangan dengan Arab Saudi dan negara Asia Barat yang menghasilkan minyak mentah murah dalam kuantiti yang besar.
Tapis blend mencatat premium tinggi berbanding minyak biasa pada harga AS$122.96 setong pada 30 Ogos, 2013, berbanding Brent blend pada harga AS$115.38 pada hari sama.

PETRONAS berkata, harga runcit semasa produk petroleum di pam di Malaysia tidak menggambarkan kos sebenar pengeluaran komoditi itu memandangkan ia tidak menunjukkan perubahan kos minyak mentah.

Katanya, perbezaan dan impak perubahan minyak mentah sudah diserap oleh subsidi besar kerajaan.

Harga minyak mentah kini semakin meningkat berikutan ketidaktentuan politik dan keselamatan di Asia Barat seperti Mesir dan Syria.

“Bagaimanapun, harga runcit gasoline dan diesel di Malaysia tidak berubah kerana disubsidikan kerajaan.”

“Subsidi besar adalah perbelanjaan yang tidak berkekalan dalam jangka panjang, selain itu ia menyebabkan penggunaan tenaga tidak berhemat dan tidak cekap,” kata PETRONAS.

Sumber:Antara Pos

Komen aku.... Minyak merupakan bahan api kegunaan harian yg semakin berkurang dan pasti naik harganya.Kalau boleh kerajaan pasti tak naikkan harga kerana ia keputusan yg tidak popular...Aku lebih berharap kerajaan lebih menjana ekonomi kearah lebih baik agar rakyat mempunyai pendapatan yg mampu mengatasi kos sara hidup yg semakin meningkat.....