TRAFORMASI UMNO MENURUT PM..
KUALA LUMPUR, 2 Dis - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata proses transformasi dalam UMNO perlu berlangsung dengan
mengambil kira keperluan bagi parti itu bergerak selaras dengan realiti
politik baharu yang kini mewarnai landskap politik negara.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata kejayaan yang dikecapi UMNO
selama ini bukan jaminan bagi kejayaan akan datang, lebih-lebih lagi
susulan perubahan yang berlaku dalam landskap politik tanah air,
disulami perubahan demografik dan teknologi selain peningkatan tahap
pendidikan rakyat Malaysia.
“Untuk kekal relevan, UMNO mesti sanggup lakukan transformasi yang
mencerminkan ia merupakan parti yang mampu menjamin masa depan orang
Melayu dan negara secara keseluruhannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan parti yang ditubuhkan pada 1946 itu
perlu meningkatkan usaha melatih pemimpin di semua peringkat yang faham
dengan apa yang perlu dilakukan demi survival parti dan perjuangannya.
Najib berkata demikian dalam wawancara khas dengan Pertubuhan Berita
Nasional Malaysia (Bernama) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013, di
pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini.
“Kita tak boleh lagi terima anggota UMNO tanpa kita tarbiah atau
didik mereka melalui kursus tertentu, bentuk minda mereka untuk
berfikir…dalam konteks persekitaran baharu, politik baharu, bukan lagi
politik lama,” kata Najib.
Beliau memberi peringatan bahawa anggota UMNO yang tidak faham politik baharu bakal ditolak rakyat.
“Sebab itu UMNO kena sesuaikan diri, (termasuk) sediakan
pemimpin-pemimpin yang menghayati politik baharu,” jelasnya dalam
wawancara khas 40 minit yang antara lain mengupas soal cabaran, harapan
dan hala tuju UMNO selepas pilihan raya umum ke-13 pada Mei dan
pemilihan parti pada Oktober lepas.
Menurut Najib, sebahagian daripada proses transformasi dalam parti
sudah berjaya manakala sebahagian lagi belum tiba ke penghujungnya.
Dalam pada itu, perdana menteri berkata ada keperluan untuk UMNO
membuka pintu lebih luas kepada golongan profesional kerana ia
difikirkan mampu member kekuatan kepada kepimpinan di peringkat bahagian
dan cawangan.
Mengulas pandangannya itu, Najib berkata ketua cawangan yang terdiri
daripada golongan profesional biasanya mempunyai pengaruh lebih besar
terutama di kawasan bandar.
Menurutnya, penyertaan golongan profesional di semua peringkat
dilihat mampu mempengaruhi masyarakat setempat dalam usaha menarik
sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional, termasuk di kawasan bandar.
“Untuk itu, kita mesti ada program untuk memperbanyak kemasukan golongan profesional dan Generasi Y terutama di kawasan bandar.
“Kekuatan kita masih di luar bandar, namun kekuatan (UMNO) di bandar perlu ditambah lagi,” jelas Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan