Sikap rakyat Malaysia yang kurang bersenam dengan alasan tidak ada masa dan malas, mungkin akan mewujudkan generasi tidak berpeluh di negara ini suatu hari nanti.
Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Muhd. Kamil Ibrahim berkata, kewujudan teknologi canggih seperti komputer dan permainan video membantu melahirkan generasi kurang bersenam ini.
``Anak-anak muda sekarang lebih berminat dengan permainan video daripada keluar bersenam.
``Jika dahulu kita main bola sepak di padang, tetapi anak muda sekarang main bola melalui permainan video,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sikap rakyat Malaysia yang kurang bersenam dan langkah drastik Majlis Kecergasan Kebangsaan (MKK) untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat.
Menurut Muhd Kamil, ibu bapa turut menjadi penyebab jika anak-anak mereka tidak mahu bersenam.
``Kebelakangan ini seolah-olah satu budaya di negara kita ibu bapa memanjakan anak dengan permainan video.
``Ibu bapa beri alasan tidak sempat bersenam kerana bekerja, anak-anak pula asyik terperap dengan permainan video, jadi tidak hairanlah jika ramai rakyat kita yang tidak sihat,'' katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Aziz Al-Safi Ismail berkata, masyarakat biasanya hanya bersenam selepas ditimpa malapetaka (sakit).
``Bila dapat tahu kita menghidap apa-apa penyakit kronik, kita biasanya akan ikut apa sahaja yang disarankan oleh doktor.
``Masa ini barulah kita menganggap bahawa bersenam itu satu keperluan,'' ujarnya.
Beliau berkata, selain pakar kesihatan, pakar pemakanan juga perlu kreatif mengenai cara pemakanan yang seimbang.
``Kita tahu masyarakat kita kurang bersenam dan tidak mengamalkan cara hidup yang sihat.
``Sudahlah jarang bersenam, mereka juga suka makan makanan yang berlemak dan mempunyai kandungan gula yang tinggi,'' ujarnya.
Justeru katanya, pakar-pakar pemakanan perlu berusaha mencari idea kreatif untuk mencipta menu makanan yang seimbang.
Selain itu katanya, senaman perlu dijadikan aktiviti tetap bagi setiap keluarga.
``Pastikan setiap kali keluar bersenam, kita bawa sekali ahli keluarga.
``Tetapkan dalam jadual untuk melakukan riadah setiap minggu,'' katanya.
Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Prof. Dr. Nik Mohd Nasri Nik Ismail berkata, sikap kurang bersenam di kalangan masyarakat negara ini adalah satu yang membimbangkan.
``Isu malas bersenam sepatutnya tidak timbul kerana setiap orang bukannya bekerja 24 jam sehari.
``Kita boleh buat senaman ringkas di rumah 30 minit sehari sebelum atau selepas balik bekerja,'' katanya.
Menurut Nik Mohd Nasri, setiap individu perlu mengetahui tanggungjawab sendiri menjaga kesihatan.
OLEH itu mari kita mula bersenam.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan