Sabtu, 4 Disember 2010

IBU NEGERI ku....

Kuantan ialah Ibu Negeri Pahang Darul Makmur yang kini sedang pesat membangun bukan sahaja sebagai pusat pentadbiran, tetapi juga sebagai pusat perdagangan, pusat kewangan, dan pusat segala aktiviti sosial. Kuantan terletak kira-kira lima kilometer dari Laut China Selatan dan jauhnya dari Kuala Lumpur ialah 267.2 kilometer sahaja. Kuantan boleh dihubungi melalui jalan darat, laut dan udara. Pusat bandar Kuantan terletak di muara Sungai Kuantan dengan keluasan satu batu persegi (560 ekar).

BAGAIMANA KUANTAN MENDAPAT NAMA.
Siapakah yang membuka, bilakah dibuka dan siapakah yang menamakan Kuantan tiada seorang pun yang dapat menentukannya. Melalui catatan sejarah, Kuantan telahpun wujud semenjak awal tahun 1850-an lagi. Kewujudan awal Kuantan pada kurun ke-19 bermula sebagai penempatan. Abdullah Munsyi pada 1851 @1852 menyentuh mengenai Kuantan seperti berikut :
“Hatta maka pada malam Khamis datanglah sebuah perahu kecil dari Kuantan. Maka berkhabarlah ia kepada anak-anak perahu mengatakan ada perahu lanun di Tanjung Tujuh, 40 buah dan di Pulau Kapas pun ada, dan di Pulau Badang pun ada, maka telah didapati dua buah perahu orang Kuantan dan dua buah perahu lepas lari”.
Menurut cerita lisan dari beberapa orang tua termasuk Tuan Kechik bin Tuan Abdullah, Batu Hitam, pada peringkat awalnya Kuantan lebih dikenali sebagai nama Kampung Teruntum. Penempatannya adalah di sekitarar Muara Sungai Teruntum, iaitu kawasan berhampiran hospital sekarang. Ia telah dibuka oleh Haji Senik dan pengikutnya sekitar tahun 1850-an.

Semasa tinggal di sini, mereka mengusahakan kawasan paya teruntum yang terletak di tapak hospital sekarang sehingga ke kawasan Sekolah Abdullah. Air daripada paya yang dikerjakan oleh mereka turun ke Sungai Besar (sekarang dikenali sebagai Sungai Kuantan) melalui Sungai Teruntum. Selain mengerjakan paya tersebut, mereka juga menangkap ikan dan berniaga secara kecil-kecilan. Bukti kawasan tersebut pernah dijadikan penempatan ialah terdapatnya perkuburan Cik Timah yang berhampiran Taman Esplanade.
(Cik Timah ialah anak Haji Senik yang telah disemadikan di tanah perkuburan tersebut. Apabila taman Esplanade diwujudkan di situ, ia melibatkan sebahagian daripada tanah perkuburan tersebut dan pusara Cik Timah telah dipindahkan ke Beserah bersebelahan pusara ayahnya Haji Senik dan ada sehingga hari ini...)
Berhubung dengan nama 'Kuantan', dikaitkan pula dengan pembukaan sebuah kawasan di hulu di Kampung Teruntum oleh orang Melayu dari daerah yang bernama Kuantan di Sumatera dengan diketuai oleh Encik Besar sekitar tahun 1854. Rombongan ini telah dibenarkan membuka kawasan tersebut. Orang yang datang kemudiannya telah memanggil tempat tersebut sebagai Kampung Orang Kuantan. Oleh sebab “Kampung Orang Kuantan” itu terlalu panjang, maka dipendekkan dengan panggilan KUANTAN sahaja yang kekal sehingga ke hari ini.

Sumber : Dipetik dan diolah semula daripada monograf "PAHANG DALAM SEJARAH", Lembaga Muzium Negeri Pahang, 1989.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan